Tuesday, September 21, 2010

Filem Tanpa Moral

Petikan Utusan Malaysia 22 September 2010

FILEM merupakan suatu medium yang mempunyai pelbagai genre seperti drama, romantik, komedi, aksi dan seram yang bertujuan memberi pilihan kepada para penonton.

Bukan setakat hiburan, filem adakalanya turut memainkan peranan sebagai alat propaganda politik dan bersifat keislaman dalam usaha untuk menyebarkan dakwah agama ini.

Filem berunsur Islam boleh diselitkan sebagai satu lagi genre dan ia semakin mendapat perhatian para pembikin filem dan penonton walau di mana-mana juga sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, ramai yang masih keliru mahupun berselisih pendapat berhubung definisi filem Islam.

Dalam konteks bidang perfileman di negara ini, para peminat telah disajikan dengan beberapa filem yang dikatakan boleh dikategorikan sebagai Islam sejak era tahun 1950-an lagi.

Sebagai contohnya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pernah mengarah dan membintangi filem Semerah Padi pada 1956 yang memaparkan elemen-elemen ajaran Islam di dalamnya.

Adegan filem itu antara lain memaparkan adanya elemen ajaran Islam yang mengenakan hukuman sula terhadap pasangan yang sudah berkahwin tetapi melakukan perzinaan.

Perkara itu membuktikan bahawa sejak dunia perfileman Melayu mula bertapak di Singapura pada awal tahun 1940-an sudah ada pengaruh Islam di dalamnya.

Namun ramai yang terus memperkatakan kesyumulan ajaran Islam yang cuba diterapkan dalam filem genre ini kerana ia dikatakan belum 100 peratus menepati kriterianya.

Bagi pensyarah Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Dr. Faisal Tehrani sehingga kini dia belum bertemu dengan filem Islam yang dimaksudkan itu.

"Bagi saya, setakat ini belum ada satu filem pun di Malaysia yang boleh dikategorikan sebagai sebuah filem Islam daripada segi naratifnya. Kalau dokumentari berunsur Islam memang banyak.

"Ini kerana Islam itu berkait rapat dengan ilmu dan menjurus kepada kebaikan yang sejati. Bolehkah filem itu dikatakan sebuah filem Islam kalau masih ada unsur mungkar di dalamnya?

"Misalnya, pelakon wanita tidak menutup aurat ataupun lelaki dan wanita bukan muhrim berpegang tangan?" Soalnya kepada Mega dalam satu perbualan baru-baru ini.

Hujah yang dilontarkan oleh Dr. Faisal ada benarnya. Andai diperhatikan, industri sinema Malaysia sejak kebelakangan ini lebih cenderung menerbitkan filem-filem yang bertentangan dengan budaya masyarakat negara ini.

Karyawan filem Melayu dilihat semakin terbuka dalam berkarya dan masing-masing seperti mahu menjadi jaguh dalam gelanggang filem.

Kerana keterbukaan itu jugalah maka kita menyaksikan filem-filem seperti ... Dalam Botol, Dua Alam, Chukang dan beberapa lagi filem lain diterbitkan.

Kebimbangan sebilangan besar daripada masyarakat Malaysia ialah sampai bilakah kita harus membenarkan karya-karya sebegini diterbitkan?

Dan berapa banyak jugakah filem yang bertemakan Islam yang dihasilkan oleh karyawan filem hari ini yang boleh kita senaraikan?

Barangkali, dalam tempoh sedekad lalu, kita mungkin hanya teringatkan filem Syukur 21 (2001).

Raihan yang berlakon sebagai teraju utama filem itu menggunakan elemen percintaan dan teknologi telekomunikasi bagi mengembangkan naratif tentang perkembangan Islam di dalamnya.

Perkembangan itu dilihat bukan setakat mempopularkan mesej Islam dalam filem tetapi ia juga didasari sentimen kebangkitan irama nasyid dalam persada muzik tempatan pada 1997.

Senario itu dapat dilihat apabila Raihan yang ketika itu muncul dengan album sulung, Puji-Pujian mencatat jualan 750,000 unit sebagai album tempatan paling laris di negara ini.

Apa pun perkembangan itu juga dilihat sebagai salah satu usaha berbentuk eksperimen untuk memperkembangkan lagi populariti irama nasyid bersama pengaruh Islam di sebaliknya.

Biarpun kurang mendapat sambutan ramai tetapi ia merupakan salah satu usaha MIG Production yang menerbitkan filem itu menjadikan Islam sebagai subjek penting penceritaannya.

Sepatutnya usaha tidak terhenti setakat itu, sebaliknya para pembikin filem tanah air harus terus menggali lebih banyak formula bagi menghasilkan filem-filem berunsur Islam.

Filem Melayu berunsur Islam ditonton oleh majoriti penonton berbangsa Melayu. Selain itu, ia juga menyediakan pasaran yang luas di luar negara terutamanya di negara-negara Islam.

Paparan tentang elemen Islam bukan sahaja diterima oleh penganut agama itu, malah sudah banyak filem dari negara-negara Islam yang diterima dalam festival-festival di Barat.

The Color of Paradise (2000) filem Iran arahan Majid Majidi antara filem yang mendapat banyak pencalonan dan memenangi anugerah di festival filem Barat termasuklah di Cannes, Perancis.

Ia menjadi bukti bahawa filem Islam bukan sahaja sesuai ditonton oleh segenap lapisan masyarakat, tetapi ia juga menyediakan pasaran yang luas termasuklah di festival seperti itu.

No comments:

Post a Comment