Wednesday, August 4, 2010

Rasa Ceri Sebelum Bunuh Diri

Oleh Dr Faisal Tehrani

PADA tahun 1987 Republik Islam Iran di bawah Kementerian Kebudayaannya mengeluarkan satu pekeliling rasmi untuk pembikin filem. Karyawan diminta memberi penekanan kepada elemen intelektual dengan nilai-nilai falsafah, mistisisme (sufisme) dan tradisi dalam karya-karya mereka. Era baharu ini mendorong nama-nama besar sinema Iran seperti Dariush Mehrjui, Bahram Bayzaie, Massoud Kimiaee, Nasser Taghvai, Ali Hatami dan tentunya Abbas Kiarostami melakukan “satu eksperimen budaya” yang luar biasa. Bersekali dengan pekeliling tersebut, satu pindaan undang-undang sensor diwartakan pada tahun 1989 di mana pemerintah menetapkan wilayah-wilayah tabu yang tidak harus diseberang oleh karyawan filem. Tahun 1990 Iran mendirikan Khaneh Cinema atau Sinema Khaneh, badan yang menjadi payung mendanai kerja-kerja pembikinan filem.

Pada tahun 1991, Mohsen Makhmalbaf (hari ini pendokong tokoh oposisi Iran, Mir Houssein Musavi) mengenengahkan dua buah filem yang dianggap menyerang kaum konservatif dan menghina keluarga syuhada perang Iran-Iraq. Filem-filem tersebut, The Time of Love dan Nights of Zayandehrood menyebabkan Menteri Kebudayaan pada waktu itu, Mohamad Khatami dituntut meletak jawatan. Pada musim panas 1992, tugas Khatami diambil oleh Dr Ali Larijani yang membolehkan pula Mostafa Mirsalim mengepalai IRIB (seperti RTM di negara ini). Mirsalim adalah tokoh sinema yang bertanggungjawab memperkenalkan kumpulan filem sacred defense cinema (era filem dijadikan pembakar semangat rakyat Iran untuk berdepan dengan kekejaman tentera Saddam Hussein).


Di sebalik latar rencam inilah Abbas Kiarostami dinobatkan setaraf dengan sutradara kelas dunia seperti Jean Luc Goddard, Nanni Moretti, Aira Kurosawa, dan Satyajit Ray. Antara filem puncak yang melambangkan keinginan karyawan filem Iran menempa acuan sufisme dan falsafah ini tercermin pada karya Kiarostami, A Taste of Cherry (1997). Filem ini meraih anugerah Golden Palm di Cannes.

Kiarostami dilahirkan pada tahun 1940 merupakan seorang pelukis buku kanak-kanak asalnya sebelum menjadi penulis tentang filem. Beliau adalah antara tokoh yang mendirikan Institut Perkembangan Intelektual Untuk Kanak-Kanak dan Remaja di Iran. Ketika bertugas di sinilah beliau menghasilkan filem pertamanya, Bread and Alley.


Gubahan filem di tangan Kiarostami adalah amat unik, ia terlihat puitis, serta bercampur antara fiksi dan dokumentari. Hakikat ini terjelma pada A Taste of Cherry. Filem minimalis ini mengisahkan Badii yang kecewa dengan hidupnya dan merancang untuk membunuh diri. Beliau perlu mencari seseorang untuk mengebumikannya. Hadiah untuk seseorang yang dapat menyempurnakan tugas tersebut ialah sejumlah wang yang besar nilainya. Badii mengelilingi kota Tehran mencari sesiapa sahaja yang sanggup melakukannya. Permintaan pertamanya jatuh kepada seorang basiji muda lakonan Ali Moradi. Remaja mentah itu ketakutan dengan permintaan Badii lantas melarikan diri lintang pukang. Harapan kedua Badii terletak pada seorang mullah muda asal Afghanistan, lakonan Hossein Nori. Pelajar agama tersebut bukan sahaja menolak tawaran Badii, beliau bahkan mengkuliahkannya dosa dan pahala dengan ayat al-Quran, hadis Rasulullah saw dan hadis-hadis para Imam dua belas. Pilihan ketiga Badii ialah seorang lelaki tua terkesan misterius. Sebagai taxidermist yang kesempitan wang, Bagheri menyetujui tawaran Badii dan memintanya menghantarnya ke tempat kerja. Dalam perjalanan itu beliau menceritakan keinginannya untuk membunuh diri dan membatalkannya setelah merasai sebiji mulberi. Dan spontan Bagheri mencadangkan Badii mengecap rasa sebiji ceri.

Filem ini diwarnai oleh wacana demi wacana sarat falsafah dan long shot yang disengajakan untuk menimbulkan rasa ingin tahu penonton terhadap pilihan-pilihan yang dibuat oleh karektor. A Taste of Cherry tidak menampilkan sebarang runut bunyi kecuali lagu "Khuda Bowad Yaret" dendangan penyanyi Afghanistan Ahmed Zaher.

A Taste of Cherry menjadi tanda besar dalam sinema dunia dengan suntikan spiritual yang segar. Ia sempat membuatkan audien di Cannes kelu dan bingung. Apatah lagi adegan akhir filem ini memaparkan Badii terbaring kaku di dalam liang lahad yang digalinya sendiri merenung bulan. Kemudian filem digelaphitamkan buat beberapa ketika lalu bersambung dengan proses pembikinan A Taste of Cherry.

Ada banyak yang dapat dipelajari dari filem Kiarostami ini. Salah satunya ialah filem dengan wacana Islam, khusus, dalam hal ini berkait dengan sufisme memerlukan ketelitian penampilan simbol. Setiap simbol tersebut tidak boleh diterjemahkan sewenang-wenangnya oleh penonton. Lambang yang terdapat dalam karya harus cermat ditafsirkan dan tafsiran tersebut pula tidak boleh lari dari kehidupan sehari-harian itu sendiri. Latar budaya, agama, sejarah Parsi dengan ketepuan falsafah dan mistik syiah menguasai kuat karya Kiarostami. Lambang tersebut dapat sahaja melibatkan pengalaman kerohanian protagonis. Kerana itulah filem seperti ini yang menggunakan kias, lambang dan pencitraan yang diangkat dari alam, kehidupan sehari-hari, kisah-kisah bersejarah dan lagenda-lagenda yang hidup di kalangan masyarakat Islam menjadi satu tanda besar di peringkat antarabangsa. Lambang-lambang inilah yang tidak mungkin dilakukan secara harfiah, menjadikan lapis A taste of Cherry ibarat sebuah puisi: ia bermakna ganda.