Tuesday, September 21, 2010

The Ghost Writer: Merungkai Sinkretisme Politik

MALARVILI MEGANATHAN
AEA 080125



Pena dan tinta sarjana politik tidak pernah lari daripada merungkai hubungan intim dua kuasa besar : Britain yang pernah menguasai dunia, dan Amerika Syarikat yang sedang menguasai dunia. Sejak sedasawarsa yang lalu, Britain dibawah teraju Tony Blair, bak boneka Amerika Syarikat bertindak mengaburi mata dunia melalui propaganda ‘war on terror’, ke atas Afganistan. ‘Hubungan istimewa’, ini menjadi ilham Robert Harris untuk tampil dengan novel thriller politik, ‘The Ghost’, yang diadaptasikan ke layar perak oleh pemenang Oscar Roman Polanski. Sejauhmanakah kombinasi Robert Harris dan Roman Polanski berjaya di layar perak? mencetuskan perdebatan klasik dalam kalangan akademia pengkritik filem.


Pada dasarnya harapan khalayak ke atas filem Polanski setinggi kejora kerana pengarah berbakat besar ini pernah tampil dengan filem seperti The Pianist, Olivers Twist, dan Chinatown yang meletakkannya sebaris dengan penglipurlara moden yang berwibawa. Namun the The Ghost Writer, berlayar terlalu mudah di tangan Polanski, yang dinobatkan sebagai pengarah terbaik di Festival Filem Berlin. Polanski, terlalu berhati-hati, tidak bereksperimen dan mengambil enteng tahap keintelektualan khalayak.


Adegan perjalanan the ghost writer dari kediamannya ke vila mewah di Marthas Vineyard, dan adegan berbasikal meredah ribut mencari bukti kematian penulis sebelumnya terlalu meleret sehingga membuatkan penonton hilang sabar. Kebosanan yang mula menggigit pangkal rasa ini ditambah dengan latar tempat yang cuba mencari kemodenan dalam selimut konservatif. Pulau persendirian yang sunyi, vila mewah yang secara literalnya kelabu dengan lukisan abstrak, mungkin diharap dapat membangkitkan suasana dingin dan kaku yang menyelubungi kehidupan seorang bekas perdana menteri Adam Lang, namun tidak kesampaian.


Malah, peleraiannya dimana ‘The Ghost Writer’, merungkai misteri bahawa isteri Adam, Ruth Lang merupakan seorang agent CIA yang menyamar sejak zaman universiti, dan secara langsung mempengaruhi segala keputusan politik suaminya, kelihatan terlalu mudah. Perkataan ‘the beginnings’, yang bermaksud setiap permulaan bab baharu dalam manuskrip yang diedit oleh the ghost writer membawa kepada peleraian misteri ini dianggap lapuk dan klise. Di sinilah muncul persoalan besar yang didebatkan, adakah Polanski memandang rendah keintelektualan khalayak yang sudah didedahkan dengan siri Criminal Minds, CSI Miami, Leverage, NCIS, dan Numbers yang jauh lebih mencabar minda dengan penggunaan teknologi forensik? Kesalahan yang dibenarkan dalam buku Robert Harris tetapi bukan dalam filem pengarah hebat era pasca modenisme seperti Polanski.


Musik latar yang tergolong dalam elemen diagetic sound, merupakan nadi dalam komunikasi sesebuah naratif. Music yang dikatakan sebagai ‘universal language of man kind’ boleh memberikan dampak yang membangitkan emosi penonton. Umpamanya musik latar yang berkesan dan menjadi sebutan hingga kini, lagu ‘My heart will go on’, dendangan Celine Dion menerusi antara filem terhebat James Cameron Titanic. Kejayaan Titanic sedikit sebanyak dipengaruhi oleh music latar yang begitu meruntun emosi. Namun musik latar yang sama, ala Sherlock Holmes dalam ‘The Ghost Writer’ tidak memenuhi selera khalayak terutamanya generasi muda. Malah,repetasi musik yang sama tiap kali muncul pekara yang mencurigakan, membunuh rasa ingin tahu penonton yang sudah mampu menghidu misteri.


Di sebalik beberapa kelemahan, sutradara Polanski tetap menempatkan namanya pada kelas yang tersendiri. Sebuah adaptasi yang adil kepada pengarang, naratif yang utuh, tema dan persoalan yang jarang sekali dipamerkan oleh pengarah filem Holloywood dengan berani, lakonan yang dijiwai oleh barisan pelakon yang diterajui oleh mantan ‘James Bond’,Pierce Brosnan,Ewan McGregor,Olivia Williams dan Kim Catrall berjaya menambat penonton membuktikan bintang Polanski tetap bersinar dan sukar ditandingi.


Jenayah perang yang dilakukan oleh George W.Bush dan Tony Blair ditonjolkan oleh Polanski dengan berani. ‘The Ghost Writer’ seorang penulis tanpa nama yang diupah untuk menulis autobiografi Adam Lang , bekas perdana menteri Britain yang bermastautin di Amerika kerana mendapat lindungan diplomatik. Sarjana Neil Hicks, berpendapat bahawa, “a conflict that results in a significant transition that alters the surrounding society creates drama.” Plot Polanski sesungguhnya menepati criteria Hicks. Malah jika dikaji dari aspek poetic justice, Adam Lang akhirnya mati ditembak ayah seorang prajurit yang meninggal dunia di perang Afganistan, sesuatu yang begitu simbolik ditambah dengan tempat kejadian, Lapangan terbang New Heaven.


Pengakhiran cerita juga mendapat sentuhan tersendiri Polanski yang mampu berlegar di laman minda penonton walaupun telah lama meninggalkan panggung. Setelah menyerahkan sekeping nota kepada Ruth yang menandakan dia telah merungkai rahsia yang terkubur di sebalik manuskrip, the ghost writer meredah malam dingin bersama manuskrip asal yang disuntingnya. Sebuah teksi meluru pantas. Dentuman kedengaran.Helaian manuskrip berterbangan membawa bersama rahsiahnya. Sebuah pengakhiran yang cukup dramatik bagi seorang penulis tanpa nama yang secara literalnya tidak disebut namanya walaupun sekali dalam filem ini memperlihatkan kehalusan Polanski membentuk watak utamanya.


The Ghost Writer pasti memukau penonton dengan dialog yang begitu bermakna dan mendalam walaupun ketika berseloroh. Skrip filem yang bermutu jauh dari filem picisan tempatan ini perlu dijadikan kayu ukur penulis muda yang mula bertatih dalam inidusrti ini. Ruth Lang dengan tajam menyindir The Ghost Writer, “Im sorry, I believe even ghost must have feelings,” dan dengan nada yang selamba, Ewan McGregor membalas “of course, we are sensitive spirits,” yang secara tidak langsung memberitahu Ruth yang dia mencurigai kematian penulis sebelumnya. Malah, sewaktu penulis tanpa nama ini menemuramah Adam Lang, dialog ini menyengat. “ I believe acting during your days at Cambridge must have been useful in your years in politics.” yang dibalas dengan sinis oleh Adam Lang,”Sure, you go up the stage and pretend as someone else, and the crowd actually applause for it.”

Filem diangkat sebagai senjata ampuh abad ini kerana mampu berkomunikasi dengan masyarakat dunia. “The Ghost Writer’, tidak sekadar mencetuskan anjakan paradigma dalam minda khalayak untuk memahami politik kuasa bahkan menyalakan kandil, mengajak masyarakat terutamanya penulis untuk menyelar keganasan,kerana penulis memegang kuasa untuk mengubah dunia. Persoalannya antara mahu ataupun tidak, bak kata The Ghost Writer, ‘the heart of a writer that matters the most.’’

No comments:

Post a Comment