Thursday, September 2, 2010

Sebuah Pengalaman Adaptasi

UNTUK mengadaptasi sesebuah karya dalam apa jua bentuk sekali pun, hakikatnya ia memang bukan satu kerja yang mudah.

Andai silap percaturan, ia boleh menjadi sebuah karya yang teruk dan sekali gus boleh menjatuhkan maruah penulis asal karya tersebut.

Sejarah dalam dunia perfileman di Hollywood sebelum ini sudah membuktikan bukan semua karya yang diadaptasi itu mampu meninggalkan kesan.

Sememangnya ia perkara yang membimbangkan untuk seorang penulis apabila ada pihak yang mahu mengangkat karya mereka sama ada ke layar perak ataupun televisyen.

Penulis novel terkenal, Alexander McCall Smith antara novelis yang begitu menjaga harta inteleknya daripada menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bukan tidak pernah ada yang menghampirinya dan menawarkan peluang untuk mengadaptasi novel-novelnya.

Tetapi, bagi Smith, dia tidak mudah percaya dengan janji manis dan pujuk rayu pihak yang cuba mengaut keuntungan atas angin daripada hasil tulisannya.

Entah mengapa, apabila dihampiri oleh enam individu terkenal Hollywood yang berminat untuk mengadaptasi novel popularnya, The No. 1 Ladies Detective Agency, dia menerimanya dengan hati terbuka.

Enam individu yang dimaksudkan Smith itu bukan sembarangan iaitu Bob Weinstein, Harvey Weinstein, Anthony Minghella, Sydney Pollack, Richard Curtis dan Amy J. Moore.

“Apabila mereka berjumpa dengan saya dan menyatakan minat untuk menjadikan karya saya sebagai drama bersiri, saya memang agak ragu pada mulanya.

“Saya tidak mahu hasilnya nanti hanya akan memalukan saya sahaja sementelah novel ini antara yang terlaris dan mempunyai ramai pengikut.

“Tetapi, selepas yakin dengan kemampuan mereka dan menonton sendiri episod perdananya, saya mula meletakkan harapan yang tinggi kepada mereka.

“Tidak pernah saya menyangka ia akan menjadi sebuah tontonan yang cukup menarik dan mereka melakukan lebih daripada apa yang terjangkau oleh akal saya,” jelas Smith dalam satu sesi temu ramah dengan pihak media dari Asia baru-baru ini.

The No. 1 Ladies’ Detective Agency merupakan novel pertama daripada 11 judul novel yang ditulis Smith untuk siri penyiasatan itu.

Menyedari populariti siri itu yang memiliki peminatnya sendiri, ia telah mendorong BBC dengan kerjasama HBO untuk menerbitkannya menjadi sebuah drama bersiri.

Pada asalnya, The No. 1 Ladies’ Detective Agency mahu diterbitkan dalam bentuk filem tetapi selepas mengambil kira beberapa faktor, akhirnya ia bertukar menjadi tontonan di televisyen sahaja.

Seperti mana kejayaan novelnya, begitu juga dengan drama itu yang mendapat perhatian meluas apabila mula ditayangkan tahun lalu di Amerika Syarikat.

Apa yang membanggakan, The No. 1 Ladies’ Detective Agency diletakkan sebagai salah sebuah siri televisyen terbaik sepanjang tahun 2009 sebaris dengan siri lain seperti Glee, Modern Family dan True Blood.

Secara eksklusif untuk rakyat Malaysia, siri ini sudah pun mula ditayangkan bermula 30 Ogos lalu menerusi rangkaian HBO dan HBO HD.

Menyambung bicara, Smith memberitahu, dia memang terlibat secara langsung dalam pembikinan drama bersiri itu terutama dari aspek skrip.

Namun, dia tidak mahu menjadi seperti tikus yang membaiki labu kerana hasilnya sudah sempurna pada pandangan mata Smith.

“Cuma ada ketikanya ketika siri ini menjalani penggambaran di Botswana, Afrika Selatan mereka membenarkan saya untuk mengungkapkan action dan cut untuk salah satu adegan.

“Mungkin itu sahaja sumbangan saya untuk penghasilan drama ini,” kata penulis ternama yang sudah menulis lebih daripada 60 buah novel itu dalam nada berseloroh.
Secara ringkasnya, The No. 1 Ladies’ Detective Agency mengisahkan seorang penyiasat wanita pertama, Precious Ramotswe yang memiliki agensi penyiasatannya sendiri di Botswana.

Sepanjang mengendalikan bermacam-macam kes dan berdepan dengan kerenah pelanggannya, Ramotswe melalui pelbagai insiden yang cukup melucukan.

Ditambah pula dengan kehadiran seorang mekanik, J.L.B. Matekoni dan pembantu merangkap setiausaha Ramotswe, Grace Makutsi melengkapkan lagi perjalanan cerita dalam siri ini.

Biarpun tiada pengalaman berlakon, penyanyi R&B dan soul yang juga pemenang anugerah Grammy, Jill Scott diberi kepercayaan oleh pihak penerbit untuk membawakan watak Ramotswe.

Bagi watak Matekoni dan Makutsi pula, masing-masing dijayakan oleh Lucian Msamati dan Anika Noni Rose.

Walaupun pada mulanya, ramai yang skeptikal dengan kemampuan Scott tetapi ternyata dia memiliki bakat lakonan semula jadi dan menjadi buah mulut pengikut siri itu.
Ini dipersetujui oleh Smith yang merasakan Scott telah memberikan interpretasinya sendiri dalam memeran watak Ramotswe itu.

“Tetapi jujurnya, saya tidak pernah membayangkan rupa bentuk fizikal setiap watak yang saya tulis.

“Cuma saya ada menetapkan beberapa kriteria yang saya rasakan perlu ada dalam setiap watak itu.

“Saya memang terkejut melihat barisan pelakon yang dipilih dan saya merasakan pihak produksi telah membuat pilihan yang tepat,” ujar Smith yang juga seorang Profesor Emeritus Undang-Undang Perubatan di Universiti Edinburgh, Scotland.

Tetapi bagi penulis dan cendekiawan berusia 62 tahun itu, apa yang lebih membuatkannya bangga dengan The No. 1 Ladies’ Detective Agency ialah latar belakang kisah itu yang berlaku di Botswana.

Smith memberitahu, karyanya itu bukan sekadar untuk menghiburkan khalayak tetapi dalam masa yang sama ia masih lagi kuat menjunjung tradisi negara itu yang mungkin tidak diketahui ramai.

“Kerana itu apabila ada pihak yang mahu menzahirkan novel ini, saya benar-benar gembira apabila mereka mahu mengekalkan apa yang telah saya tulis sebelum ini.

“Kalau diperhatikan sedalam-dalamnya, The No. 1 Ladies’ Detective Agency menyelitkan tema yang sering kali melingkari masyarakat di sana khususnya melibatkan kaum wanita,” ujarnya.

Sumber Utusan Malaysia 3 September 2010.

No comments:

Post a Comment