Wednesday, August 4, 2010

Avatar: Pertembungan Kutub Tradisi dan Moden

OLEH Dr FAISAL TEHRANI

MEMANG sehingga sekarang, getar Avatar masih terus berlangsung. Avatar telah pun menjadi juara kutipan tiket dengan jumlah keuntungan mencapai 1.858 billion dollar dan ia akan terus meningkat. Minggu-minggu mendatang Avatar akan berdepan pula perlawanan klasik iaitu pertembungan untuk meraih anugerah filem terbaik di Anugerah Oscar, satu acara tahunan Hollywood yang dinanti pengekor dan penggemar industri filem. Setelah membolot anugerah filem terbaik dan pengarah terbaik untuk Golden Globe, Avatar masih dilihat berpeluang muncul sebagai filem terbaik meski ramalan yang ada kini menunjukkan Avatar belum tentu dinobatkan sebagai filem terbaik.

Terlalu banyak tulisan telah dinukilkan mengenai kejayaan efek khas Avatar yang mengkagumkan. Perkembangan teknologi penkomputeran, digabung dengan keluarbiasaan industri kreatif sambil pula kemantapan garapan 3D yang menggamamkan; semua ini membolehkan getar dan debar seputar Avatar berkekalan buat beberapa lama. Saya kurang berminat, atau harus mengakui kurang celik akan aspek-aspek yang disebut di atas. Pada saya filem mestilah sebuah naratif, dan naratif haruslah benar-benar bermakna dan kuat sebagai sebuah kerja seni yang bercerita (dan dalam masa yang sama berwacana).

Apakah Avatar benar-benar cemerlang dari sudut itu?

Ya dan tidak.

Tidak, kerana James Cameron selaku pengarah filem ini sebetulnya boleh mencipta filem yang lebih cemerlang lagi. Bayangkan Avatar dipecahkan kepada trilogi. Kearifan Cameron dalam mencipta bumbu sains fiksyen yang aneh-aneh akan menjadi lebih pekat dan memegunkan khalayak tentunya. Malah, muatan Avatar terlalu tergesa-gesa di sana sini sehingga sekiranya ia dibahagi-bahagi kepada beberapa segmen, ia akan lebih jitu dan tidak terasa terlalu sendat. Kelompongan dan kelonggaran ini menyebabkan mereka yang menjangkakan sesuatu yang lebih hebat pasti berasa hampa.

Bayangkan sisi awal Jake Sully sebagai seorang marin lumpuh diperkenalkan dengan lebih rinci, ia dikukuhkan bersama sisi lain ketamakan Parker Selfridge serta bersulam kegilaan dan kebuasan Kolonel Quaritch. Itu dilakukan, sambil disisipkan pengenalan kepada alam Pandora. Bahagian kedua Avatar boleh sahaja menghuraikan sisi Sigourney Weaver sebagai saintis Dr Grace Augustine yang mendedikasikan seluruh kariernya untuk mengkaji dunia Pandora, sambil mengembangkan watak-watak ‘manusia tradisional’ seperti Neytiri, Tsu’tey, Eytukan, dan lain-lain lagi.

Bahagian akhir Avatar boleh misalnya menunjukkan kemuncak yang dinantikan; iaitu pertembungan nilai yang dibawa oleh manusia dari bumi, dengan cita-cita untuk memberi pendidikan buat makhluk asing yang menetap di Pandora. Pendidikan yang dimaksudkan tentulah bukan peradaban melainkan kebinatangan dan kebuasan peribadi.

Ya, Avatar mencipta keajaiban naratif dengan menggunakan kerangka lama.

Bermodalkan mazhab filem Hollywood yang tidak lari dari plot konvensional iaitu pengenalan, konflik dan peleraian; Cameron mengisi Avatar dengan persembahan yang memihak dan menyikapi kutub pemikiran tradisional. Avatar menyogokkan satu aspek yang agak jarang dijuarai Hollywood iaitu berpihak kepada tradisionalis. Dalam filem ini, makhluk asing pagan berwarna ungu-biru dengan wajah dan bahasa pelik, dengan kepercayaan tahyul yang penuh magis (buat manusia Amerika Syarikat) perlu berdepan dengan kemodenan, kebiadaban nilai Barat dan teknologi yang ditunjangi nafsu rendah. Jika sebelum ini manusia Barat digambarkan wira sementara makhluk asing adalah ‘haiwan’ buas yang hodoh-buruk, Cameron mengubah kutub ini kepada Barat selaku pengganas yang berlapik kepura-puraan tewas tumpas di tangan suku kaum Na’vi yang menentang dengan seluruh kekuatan jiwa. Gambaran perang itu tentulah klasik, dan Na’vi menang bukan kerana kekuatan teknologi atau kepintaran strategi melainkan kerana kekuatan spiritual, campur tangan kerohanian dan kuasa ghaib ‘keimanan’.

Untuk itu, Cameron wajar dipuji, kerana dalam era pencerobohan asing di Pandora, termasuk pembinaan beberapa buah sekolah untuk mengajarkan bahasa Inggeris, puak Na’vi memilih untuk tidak mengorbankan kepercayaan lama dan tradisi sebaliknya beberapa watak seperti Dr Grace dan Jake Sully sendiri ikut menyerah dan menyertai kutub tradisionalis sambil menjadi benteng mempertahankan idea-idea lama.

Tidak mustahil penonton dunia ketiga tentu sahaja dapat menghubungkan dialog Parker Selfridge yang mendabik dada mengatakan Manusia/Barat (Amerika) telah memberikan segala-galanya termasuk pembangunan, pendidikan dan jalanraya tetapi kaum Na’vi yang bodoh masih memilih untuk berada dalam dunia mereka. Tidakkah ini modal pemerintah di seluruh dunia untuk terus berkuasa apabila berdepan dengan marhaen dan murbawan? Hujah inilah misalnya yang digunakan untuk menolak masuk lebih banyak jentolak menyodok hutan tropika kaum Penan di Sarawak!

Maka keinginan Cameron untuk memihak golongan yang tertindas dan menghantar pulang sang penindas adalah perlu diberi lima lebih bintang.

Satu sisi lain yang menarik dalam Avatar ialah penggunaan rawi yang biasanya digunakan dalam genre dokumentari atau rencana (berita). Cerita rawi berperanan memperjelaskan latar cerita dalam bentuk voice over. Rawi dinilai dari sisi ideologikalnya berfungsi sebagai tukang lipur yang berniat mempengaruhi. Kerana itu cerita yang bergantung kepada perawi selalunya bertujuan politikal dan selalunya menghasut khayalak. Tidak hairan kita dapat melihat perubahan pendirian Jake Sully dari seorang marin pendokong establishment kepada penentang kuasa yang dikanunkan dengan keperwiraan ala-ala hikayat lama dari dunia oriental. Benar, citarasa Cameron tidak lari dari formula lapuk Hollywood iaitu ‘sebab dan akibat didorong oleh cinta’, tetapi cinta itu telah menjadikan Jake Sully satu produk teknologi yang ‘menyamar’ sebagai orang asli Pandora kini menyertai perjuangan kaum Na’vi untuk mengusir keluar manusia.

Avatar adalah sebuah teks yang akan menjadi tumpuan lanjut pengkaji filem dan seni tentunya. Meski ia kemunduran emosi berbanding Titanic yang turut diarahkan oleh James Cameron, dan juga kekurangan kekuatan lakonan, tetapi sebagai sebuah hasil seni-teknologi yang menggemparkan ia boleh dibaca dan disorot lagi dan lagi dari sisi budaya, politik, agama dan pelbagai lagi. Meskipun nanti tewas di Anugerah Oscar, Avatar akan terus mendapat perhatian. Baik sebagai batu loncatan untuk filem era hadapan atau sebagai sebuah kerja seni dengan nilai ideologi dan wacana yang tajam.

Avatar adalah sebuah filem tradisional dengan balutan plastik kemodenan. Satu gabung-jalin yang pada mulanya membingungkan, tetapi kini disambut sebagai satu yang bergaya.

Benar, Avatar adalah wakil kerja terbaik James Cameron hari ini. Jika dinilai dari sisi kutub pemikiran yang ditawarkan, James Cameron telah muncul sebagai juara dunia ketiga. Dan, jangan lupa, James Cameron juga berasal dari kilang yang sama – Hollywood.